Jika Rasulullah itu yang maksum punya tahun kesedihan, aku sebagai manusia biasa pendosa juga punya tahun kesedihan juga.
2016. Sebuah permulaan tahun 2016. Usai kelas, aku gegas pulang ke mahallah untuk solat asar, usai solat, kawan aku Zaf dapat panggilan telefon dari mama. Mama kata Mak Faridah meninggal, beliau memang disahkan mempunyai kanser payudara dan kanser kolon. Selang 2 bulan, Pak Ngah pula dijemput ilahi, kisahnya bermula ketika beliau menghidapi demam berpanjangan kemudian sudah tiada. Selang sebulan, aku dikejutkan dengan pemergian sahabat baik, Zaf. Mereka semua tidak lain tidak bukan adalah orang yang dekat dengan aku.
WARKAH UNTUK SAHABAT
Pertama kali aku berkenalan dengan mu, sewaktu itu kau berdiri memegang mikrofon didepan lalu memperkenalkan diri sebagai Zaf, aku menyangkakan kau seorang yang riang tetapi pendiam. Sangkaanku tepat. Aku sekelas dengan kau, tapi aku tidak banyak berbual dengan kau kerna aku memandang mu dengan satu darjat yang lebih tinggi dariku. Kau begitu baik. Kau juga begitu bijak. Tahun pertama aku tidak banyak mengenalimu, tetapi masa berlalu membuatkan aku mengenalimu dengan lebih mendalam.
Kau begitu seronok ketika mengisi borang interview DQ, kerna kau punya hasrat dan impian untuk menjadi al-Hafizah. Ternyata impian mu tercapai setahun sebelum kau menghembuskan nasfas terakhir. Aku tidak punya hasrat untuk menjadi al-Hafizah, maka, aku buat tak endah ketika mengisi borang tetapi kau yang banyak membantu aku. Kau antara insan hebat ketika iv di SMKAJB. Hampir keseluruhan satu muka kau bisa hafal hanya dalam masa 30 minit, sedangkan aku, hanya 5 baris sahaja. Takdir Allah itu indah. Aku dan kau dapat meneruskan perjuangan, berjuang dan berperang bersama menghafal kalam Allah. Kau begitu hebat dalam menghafal. Kau begitu hebat mengulang semula al-Quran. Aku sering bertemu dengan mu di masjid, tempat kesukaan mu ketika ngantuk adalah duduk ditangga sambil menghadap kipas. Sungguh nyaman. Di masjid lah tempat biasa aku berjumpa dengan mu. Subuh, Maghrib dan Isya'. Akhirnya, aku dan kau berjaya menamatkan perjuangan di Darul Quran. Kita sama-sama memikul satu tanggungjawab yang begitu berat.
Pada hari pendaftaran UIA, kau datang dengan keluarga mu, begitu juga aku. Aku, kau, Dhiya dan Anisah ingin sekali duduk sebilik tetapi kau pantas menarik tangan ku ke Mahallah Zainab Registration sewaktu fellow disitu memberitahu bahawa kita berempat perlu berpecah dua. Keluarga aku dan kau saling mengenali, bertanya macam-macam. Waktu itu tubuh mu gagah dan sihat. Walau naik tangga penat tapi kau masih kuat untuk buat kerja lain. Hebatnya kasih kau pada aku, kau ingin sekali sebilik dengan ku untuk sem seterusnya.
Pada awal sem, kau masih kau yang dahulu, tidak apa yang berubah, kau masih gagah, kuat, mudah senyum. Tetapi, kau mula menunjukkan ketidaksihatan mu, kau kerap batuk dan demam. Aku mulai risau bila kau kerap rasa panas dan berat badan mu mula merosot, selera makan mu juga berkurangan. Dua minggu sebelum kau pergi, aku sempat menunaikan hak sebagai seorang teman. Aku, Nadiah dan Izyani membawa mu ke PPUM, kau ditahan sementara di ER.
Sahabat, jika kau ada disini, bacalah tulisan ini. Kau adalah sahabat yang sungguh baik hinggakan tiada keburukan mu aku jumpa. Kau begitu istiqomah melakukan tahajjud dan amalan sunat yang lain apatah lagi amalan wajib. Tahajjud mu tidak pernah tinggal walau keadaan dirimu begitu lemah dan tidak bermaya. Bangkitmu pada 3 pagi untuk bertemu Pencipta mu lalu meneruskan perjuangan sebagai seorang pelajar, belajar hingga subuh. Kau sering mengingatkan aku untuk solat awal dan ajak berjemaah, kau juga sering mengingatkan aku untuk mengulang Quran dan membaca surah mulk sebelum tidur. Kebaikan mu yang begitu banyak terhadap ku tidak terkira, sedangkan kebaikan aku pada mu bisa dikira dengan jari. Kau sering mengingatkan aku untuk tidur awal agar aku bisa tahajjud seperti mu tetapi aku sering mengendahkan kata-kata dan kejutan mu. Kau sering mengejutkan aku untuk solat malam tetapi aku kerap terikut dengan ajakan syaitan untuk terus tidur.
Sahabat, kau juga sering mengajar aku tajuk yang aku tidak faham. Kau sering beri aku semangat untuk aku terus belajar tanpa putus asa. Kau begitu pantas mengecam bahawa aku dalam kesedihan tetapi aku sering mengatakan bahawa aku tidak apa-apa supaya kau tidak begitu risau. Setiap kesedihan yang menerpa diriku kau sering menyelitkan kata-kata semangat yang berhikmah. Kau juga tahu aku kuat makan, maka, kau selalu membelanja aku makan. Aku ingin minta maaf kerana aku tidak bisa menjadi sahabat yang baik kepada mu sedangkan kau sangatlah baik terhadap ku. Aku menyesal kerana aku tiba di rumah mu 2 jam lambat, niat ku sememangnya ingin melawat mu sakit, tetapi, semasa dalam perjalanan ke rumah mu, aku dapat berita yang sampai sekarang aku tidak percaya, kau telah menghadap Ilahi.
Sahabat, kematian mu adalah kematian yang menghidupkan. Aku berada disisi mu dari saat tubuhmu masih panas hingga tubuh mu selamat dikebumi di liang lahad. Semua insan yang berkata tentang mu, mereka berkata yang baik-baik. Mereka juga menyetujui aku, kau sememangnya insan yang baik bukan pada sahabat tetapi pada jiran juga adik beradik dan keluarga. Sahabat, ketahuilah, yang menggali kuburmu itu abang saudara ku (sepupu), dia mengakui, sepanjang dia menjadi penggali kubur, kuburmu adalah yang paling senang dan mudah dan cepat untuk digali. Ketahuilah sahabat, yang memandikan mu dan mengkapankan mu itu maklong ku ( kakak mama ), beliau mengakui, urusan mu begitu mudah, tubuh mu masih lembut dan senang diuruskan. Pergi mu dengan senyuman dan muka berseri membuatkan makcik ku yang membuatkan baju mu senang hati tanpa risau melihat muka mu. Mugkin sahaja Tuhan sudah tahu bahawa amalan dan tanggungjawab mu sudah cukup untuk menghadapNya.
Sahabat, berehatlah kamu, perjuanganmu sudah selesai, Tuhan ingin kau rehat setelah kau berpenat lelah menaburkan kebaikan dibumi Nya. 20 Mei 2016, kau dipanggil oleh PenciptaMu. Semoga kau ditempatkan bersama ahli syurga. Moga nanti kau sambut aku dipintu syurga
takziah . smoga kita sama2 istiqomah dgn amalan .
ReplyDelete